suria

Kerajaan Sedia Pertimbang Sistem Jagaan Kesihatan Capaian Jauh - Subra

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedia mempertimbangkan penggunaan sistem jagaan kesihatan capaian jauh (remote care) yang dapat mengatasi masalah kesesakan di hospital.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata menerusi sistem itu, pesakit akan diupayakan dengan pengetahuan perubatan dan teknologi agar mereka dapat berhubung dengan doktor secara talian bagi mengurus kesihatan diri.

"Ini merupakan trend yang akan menjadi sebahagian daripada sistem jagaan kesihatan di Malaysia.

"Sebagai kerajaan kita terbuka (kepada sistem ini). Sudah pasti pada peringkat awal akan melibatkan modal (yang besar) tetapi untuk jangka masa panjang, kaedah ini mungkin lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem pemantauan jarak jauh Merlin.net, Institut Jantung Negara (IJN), di sini Jumaat.

Katanya pemantauan jarak jauh membolehkan doktor membuat keputusan lebih cepat mengenai keperluan pesakit dan kajian pula menunjukkan sistem seperti Merlin.net membantu doktor mengesan asimptomatik dan masalah pada peranti lebih awal berbanding janji temu di klinik.

"Sistem ini juga menjimatkan kos dan masa bagi pihak yang terbabit berbanding berjanji temu di klinik," katanya.

IJN pada Jumaat melangkah ke hadapan dengan teknologi perubatan terkini di rantau ini, menerusi pelancaran sistem jagaan capaian jauh menggunakan Internet yang membolehkan pakar perubatan dan pihak berkenaan mendapat akses menyeluruh kepada pesakit, menerusi implan peranti perubatan.

Timbalan Ketua Unit Kardiologi IJN Datuk Dr Razali Omar berkata Merlin.net mengumpulkan data daripada peranti seperti perentak jantung dan implan defibrilator kardiover (ICD) pada pesakit, sekali gus membolehkan pakar perubatan mengesan perubahan dengan lebih cepat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya sistem itu yang diperkenalkan pada Jun tahun lepas, akan mengumpul dan menyimpan data daripada prosedur implan, lawatan susulan di klinik serta yang ditransmisi daripada rumah pesakit.

Jika ada perubahan drastik pada pesakit atau peranti, sistem itu akan mengeluarkan amaran dan dihantar kepada pakar perubatan melalui e-mel.

"Kita mempunyai tenaga kerja yang memantau e-mel setiap hari dan mereka akan memaklumkan kepada saya sekiranya ada dalam kalangan pesakit yang memberi 'urgent alert'.

"Saya sendiri akan membuat panggilan kepada pesakit meminta mereka datang berjumpa saya sama ada segera atau dalam masa terdekat bergantung kepada keadaan pesakit itu," katanya.

Seorang pengguna, Pegawai Perubatan di Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan, Dr Sulaiman Che Rus, 62, berkata beliau berasa selamat kerana tahu tahap kesihatannya sentiasa diawasi oleh doktor.

"Selepas dua kali mengalami serangan jantung, saya ke IJN dan pihak mereka mengesyorkan sistem ini. Dan ia tidak mengambil masa lama untuk menjalani pembedahan kecil untuk memasang peranti itu.

"Setakat ini saya berpuas hati dan tidak mengalami sebarang masalah serangan jantung sejak menggunakan sistem ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain