suria

Pelantikan Ketua Pembangkang Di DUN Sabah Tidak Termaktub Dalam Perlembagaan

KOTA KINABALU: Pelantikan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak termaktub atau tidak ada dalam perlembagaan dan peraturan mesyuarat DUN negeri, sebaliknya ketua pembangkang dipilih berdasarkan konvensional, kata Speaker DUN Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said.

Beliau berkata jika parti pembangkang ingin melantik ketua pembangkang, mereka boleh mengemukakannya kepada Speaker, dan Speaker akan mengambil tindakan selepas menerima cadangan itu.

"Bagaimanapun, sehingga kini pembangkang belum berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah 60 anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, dekat sini Khamis.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika diminta mengulas status sebenar ketua pembangkang di DUN Sabah.

Beliau berkata bilik khas untuk Adun pembangkang juga disediakan selaras dengan amalan demokrasi.

Mengenai perbahasan sidang DUN Sabah yang dijangka hangat dengan kehadirian 12 Adun pembangkang, Salleh berharap wakil rakyat dapat mematuhi peraturan mesyuarat sedia ada.

"Perbahasan sepatutnya dibuat secara sihat kerana masing-masing ada pandangan, dan apa yang penting ialah mereka perlu bersikap profesional.

"Sebagai Speaker saya akan menjalankan tugas secara profesional berpandukan standing order (peraturan tetap)," katanya.

Perasmian pembukaan persidangan akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada Isnin, 17 Jun manakala persidangan DUN akan diadakan selama tiga hari bermula Selasa, 18 Jun. - BERNAMA

Artikel Lain