suria

Malaysia Tunggu Surat Kerajaan Arab Saudi Berhubung Kuota Haji Tahun Ini - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Malaysia masih menunggu surat berhubung kuota jemaah haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berharap kuota itu dapat dikekalkan pada 28,000 jemaah seperti tahun lepas kerana pada masa ini, kira-kira sejuta umat Islam Malaysia berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Namun, kita amat memahami kerajaan Arab Saudi mahu memberikan keselesaan dan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji. Dalam masa yang sama di Makkah, ada kerja menambah baik melibatkan pembinaan...kawasan tawaf dikecilkan ketika kerja pembinaan ini bagi memberi keselesaan kepada jemaah.

"Kami dapat tahu negara jiran seperti Indonesia, kuota hajinya dikurangkan...kalau terlampau ramai, mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan ibadah haji. Apapun kami tunggu surat kerajaan Arab Saudi dan pertimbangkan sebaik mungkin langkah selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kompleks Pusat Islam di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Zainal Abidin Jaffar.

Seramai 510 pelajar cemerlang menerima bantuan kewangan berjumlah RM141,550.

Pada Rabu, kerajaan Arab Saudi dilapor akan memotong kuota jemaah haji Indonesia kira-kira 42,000 orang pada musim haji tahun ini berikutan terbatasnya ruang ibadah di tanah suci itu kerana projek mega memperluaskan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Jamil Khir berkata bagi kuota haji tahun ini, kerajaan akan memberi keutamaan kepada jemaah berumur lebih 70 tahun.

"Kami juga akan meneliti rayuan daripada jemaah yang mempunyai sebab yang perlu kami beri kelonggaran seperti mereka yang mahu menemani saudara orang kurang upaya menunaikan haji," katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung 22 wanita dihukum sebat atas kesalahan syariah di Johor, beliau meminta rakyat tidak mensensasikan isu itu.

Beliau berkata mereka perlu membezakan hukuman sebat dalam undang-undang sivil dan syariah dalam menentukan pandangan mereka terhadap isu itu.

"Sebat dalam syariah ini amat berbeza dengan sivil...ia beza amat jauh dengan sebat syariah antaranya sebat syariah ini tidak melukakan. Bukan sahaja Johor, negeri lain begitu juga, tidak perlulah kita sensasikan isu ini," katanya.

Kesemua wanita itu adalah antara 39 pesalah syariah yang dihukum enam sebatan bagi kesalahan sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah di Johor sejak dua bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Lain