suria

Empat Warga Mexico Ditahan, Curi RM13,000 Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kehadiran empat warganegara Mexico termasuk seorang wanita di negeri ini untuk melancong turut mempunyai muslihat apabila diberkas polis kerana melakukan aktiviti mencuri pada Isnin lepas.

Keempat-empat warga asing itu berpura-pura menghulurkan bantuan kepada seorang ahli perniagaan wanita yang tayar keretanya pancit di tempat letak kereta di hadapan sebuah pasaraya di sini sebelum mencuri wang tunai kira-kira RM13,000 daripada wanita itu.

Bagaimanapun atas kecekapan polis, kesemua suspek berusia 30 hingga 80 tahun itu tidak sempat berjoli apabila diberkas lima jam kemudian di Jalan Astaka, Kuala Berang di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kesemua suspek telah mengekori mangsa berusia 20-an yang ketika itu selesai menunaikan cek di sebuah bank berdekatan pasaraya itu kira-kira 1 tengah hari.

Katanya ketika mangsa kembali ke keretanya, wanita itu mendapati tayar keretanya pancit dan bertindak meletakkan wang tersebut di bawah tempat duduk sebelah pemandu sebelum didatangi seorang lelaki warga asing menawarkan bantuan.

"Suspek memberikan sebotol cecair sebelum meminta mangsa memasukkan cecair itu ke dalam tayar yang kempis itu dan ketika mangsa sedang memasukkan cecair itu, lelaki berkenaan mengambil kesempatan dengan melarikan wang berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Polis yang menerima laporan berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek menghala ke Hulu Terengganu dan berjaya memberkas kesemua suspek bersama wang curi itu, katanya.

Manoharan berkata siasatan mendapati kumpulan itu menggunakan modus operandi mengekori mangsa sebelum memancitkan tayar kenderaan dan berpura-pura menghulurkan bantuan sebelum mencuri.

Siasatan mendapati kesemua suspek pertama kali masuk ke negara ini dan telah beberapa bulan di negara ini untuk tujuan melancong dan kereta yang digunakan dalam kes itu merupakan kereta sewa, katanya.

Katanya polis percaya kesemua suspek turut terlibat dalam beberapa kes jenayah di tempat lain dengan menggunakan cara yang sama dan menurutnya keempat-empat suspek direman empat hari untuk siasatan.

Manoharan turut meminta lelaki berusia lingkungan 30-an yang melihat suspek melarikan diri dengan kereta dalam kejadian itu tampil ke balai polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain