suria

42 ADUN Kelantan Angkat Sumpah Hari Ini

KOTA BARU: Empat puluh dua daripada 45 anggota dewan undangan negeri (ADUN) Kelantan pada Khamis mengangkat sumpah jawatan sebelum bermulanya penggal baharu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu di sini.

Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob diikuti Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, 10 anggota exco dan Adun yang lain.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Kelantan yang baharu dilantik, Abdullah Ya'kub.

Tiga Adun yang tidak hadir ialah Adun Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed, Adun Salor Datuk Husam Musa dan Adun Wakaf Baharu Datuk Abdullah Che Mat Nawi yang juga Pengerusi Jawatankusa Pertanian, Bioteknolologi dan Teknologi Hijau.

Bernama difahamkan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini berada di luar negara, manakala punca ketidakhadiran Husam dan Abdullah tidak dapat disahkan.

Sebelum itu, bekas ADUN Ayer Lanas, Abdullah Ya'kub mengangkat sumpah jawatan sebagai speaker baharu, menggantikan Datuk Nassuruddin Daud yang kini Adun Meranti.

ADUN Mengkebang yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Speaker yang baharu bagi menggantikan Mohamad Zaki Ibrahim (ADUN Kelaboran).

Persidangan DUN itu akan dirasmikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada Ahad ini sebelum bersidang sehingga Selasa.

Pada pilihan raya umum baru-baru ini, PAS kekal meneraju Kelantan selepas memenangi 32 daripada 45 kerusi DUN yang dipertandingkan, sementara Barisan Nasional (BN) menambah bilangan kerusi daripada tujuh pada penggal dahulu kepada 12 pada penggal kali ini.

Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Paloh, Nenggiri, Galas, Dabong, Kok Lanas, Selising, Semerak, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga, Gual Ipoh, Ayer Lanas dan Kuala Balah.

Satu lagi kerusi dimenangi PKR di Guchil. - BERNAMA

Artikel Lain