suria

Langkah Pantau CCTV 24 Jam Dapat Bendung Kes Tahanan Mati

KUALA LUMPUR: Langkah polis untuk menugaskan pegawainya memantau rapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam lokap akan dapat membendung kes kematian tahanan, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, pemantauan secara 24 jam itu adalah langkah bijak untuk memastikan kes kematian tahanan seperti yang berlaku di beberapa lokap polis sebelum ini tidak berulang.

"Ini adalah arahan yang baik tetapi kita harus pastikan bahawa arahan ini dapat dilaksana secara berkesan...sebab saya rasa apa yang berlaku dalam isu ini amat serius dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap polis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung langkah itu.

Lee berkata, penugasan itu juga adalah satu-satunya cara untuk polis meraih semua kepercayaan masyarakat dalam mengendalikan tahanan lokap.

"Mereka ada asas untuk membuat tangkapan dan tahanan tetapi orang tahanan ini haruslah dijaga dengan baik juga berdasarkan hak asasinya supaya tidak timbul isu kononnya polis memukul tahanan dan sebagainya," kata beliau.

Presiden Yayasan Pengaman Malaysia yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samshuri Arshad pula berkata, apa jua tindakan dan peraturan yang boleh meningkatkan penyeliaan tugas-tugas polis di dalam penyiasatan salah laku adalah dialu-dialukan.

"Ini untuk meningkatkan keyakinan awam dan professionalisme pasukan itu di mata masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain