suria

Hanya Mahkamah Boleh Putuskan Pilihan Raya Diadakan Semula Atau Tidak

KUALA LUMPUR: Hanya mahkamah boleh memutuskan sama ada perlu diadakan pilihan raya semula bagi kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-13 lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Proses ini tidak hanya tamat di mahkamah tinggi kerana mereka juga boleh membuat rayuan di mahkamah persekutuan dan keputusan itu adalah muktamad," katanya kepada pemberita selepas ditemu ramah radio Nasional FM di Angkasapuri di sini, Rabu.

Menurut Abdul Aziz, proses di mahkamah itu akan membuktikan sama ada SPR melanggar peraturan pilihan raya atau pembangkang sekadar membuat tuduhan untuk menjatuhkan kredibiliti badan berkenaan.

Katanya, apabila mahkamah berkenaan memutuskan ada keputusan kerusi parlimen atau dewan undangan negeri yang tidak sah atau batal, dan pilihan raya perlu diadakan semula, maka SPR akan melaksanakannya.

"Buat masa ini, SPR tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan supaya pilihan raya diadakan semula kerana desakan sesetengah pihak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR belum dapat mengenal pasti jumlah petisyen yang difailkan oleh calon parti-parti politik berhubung proses dan keputusan pilihan raya umum lepas.

"Sehingga lewat petang semalam (Selasa( tidak ada satu pun yang disampaikan kepada SPR walaupun dalam laporan media menyatakan bilangan tertentu," katanya.

Menurutnya, mahkamah mempunyai 15 hari untuk menyemak petisyen tersebut.

Mengulas mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu memboikot sidang Parlimen yang akan bermula 24 Jun ini, beliau berkata, parti itu perlu berhenti daripada mengingkari peraturan yang ditetapkan Parlimen.

"Jika tidak angkat sumpah tidak boleh masuk bersidang, kalau tak mahu (angkat sumpah) apa jadi sampai 6 bulan?" katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain