suria

Permohonan Peguam Korporat Berhubung Persoalan Undang-Undang Didengar 24 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 24 dan 25 Jun ini untuk mendengar permohonan peguam korporat Datuk E.Sreesanthan berhubung beberapa persoalan undang-undang dalam kes yang dihadapinya berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham syarikat.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) Arik Zakri Abdul Kadir memberitahu demikian kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah di dalam kamar.

Katanya Hakim Kamardin Hashim dijadual mendengar permohonan Sreesanthan bagi merujuk persoalan itu ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah juga menetapkan 8 Julai untuk sebutan kes itu.

Persoalan itu antaranya ialah mengenai kuasa pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) memasuki premis walaupun tidak mempunyai waran geledah. Sreesanthan juga memohon Mahkamah Tinggi itu membuat tafsiran tentang Seksyen 128 Akta SC 1993 yang memperuntukkan kuasa merampas dan menahan sebarang dokumen daripada seseorang semasa penyiasatan kes jenayah dijalankan.

Pada 20 Julai tahun lepas, Sreesanthan, bekas pengarah bebas bukan eksekutif Sime Darby Bhd, didakwa terhadap tujuh pertuduhan berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

Beliau didakwa menggunakan maklumat tentang pemerolehan, penswastaan dan urusan penstrukturan semula korporat syarikat tersebut yang dimilikinya antara 2006 dan 2008 untuk memperoleh saham berkenaan.

Bagi tiga tuduhan pertama, Sreesanthan didakwa memperoleh 75,000 unit saham Sime Darby Bhd, sebelum sebuah syarikat yang ditubuhkan khas dikenali sebagai Synergy Drive Sdn Bhd, memperoleh sembilan syarikat untuk diletakkan dalam kumpulannya, termasuk Sime Engineering Services Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd.

Dua lagi tuduhan melibatkan pembelian 200,000 unit saham UEM World Bhd dan 100,000 unit saham VADS Berhad ketika beliau mempunyai maklumat dalaman tentang penyusunan semula korporat UEM Group dan cadangan penswastaan VADS Bhd.

Dua tuduhan terakhir melibatkan 250,000 saham Maxis Communications Bhd, yang didakwa diperolehnya sebelum cadangan pengambilalihan bersyarat semua saham undian dalam Maxis oleh Binariang GSM Sdn Bhd dilaksanakan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Bhd di Bukit Kewangan di sini antara 9 Oktober 2006 dan 18 Oktober 2008 mengikut Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun bagi setiap pertuduhan. -BERNAMA

Artikel Lain