suria

Peniaga Didakwa Tipu Lapan Individu Babit Kerugian RM11,500

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap lapan pertuduhan menipu lapan individu membabitkan kerugian RM11,500 empat tahun lepas.

Mohamad Haris Mohd Hassan, 44, didakwa memperdaya lapan individu bahawa dia boleh mendapatkan barangan rampasan Kastam Diraja Malaysia dan polis, antaranya telefon bimbit dan komputer riba, dengan harga yang murah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang antara RM1,000 hingga RM3,200 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jalan Tun Ismail dan Hotel Legend, Jalan Putra di sini antara 14 Februari 2009 dan 23 Mei 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Majistret Noorashikin Sahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain