suria

Mayat Lelaki Ditemui Dalam Sungai

GEORGE TOWN: Polis menemui mayat seorang lelaki terapung dalam keadaan tertiarap dan hanya berseluar dalam berhampiran tebing sungai di persimpangan Lintang Macallum dan Jalan Cecil di sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata lelaki itu, Fong See Leong, 42, dipercayai turun ke tebing sungai berkenaan berikutan sepasang selipar, pakaian berlipat serta sebuah beg yang mengandungi dokumen miliknya turut ditemui berhampiran lokasi kejadian pada pukul 7 pagi ini.

"Mayat lelaki itu telah dituntut sepupunya petang ini. Pemeriksaan pada tubuhnya mendapati terdapat kesan luka kecil di pipi kiri dan betis kanan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata berdasarkan keterangan sepupunya, Fong ada minum bersamanya tengah malam tadi bagaimanapun dia tidak menyedari kehilangan lelaki itu kerana tertidur.

Gan berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perlakuan jenayah sehingga menyebabkan kematian lelaki terbabit dan siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. -BERNAMA

Artikel Lain