suria

GPMS Gesa Kerajaan Kedah Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik Kuin

ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menggesa kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melakukan penambahbaikan ke atas Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Pengerusinya Shamsul Bahar Abd Rani berkata jawatankuasa berkenaan perlu untuk mengkaji serta memberi cadangan bagi memastikan status Kuin sebagai institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri dipertahankan.

"GPMS akan hantar memorandum rasmi mengenai cadangan itu kepada kerajaan negeri dalam minggu ini agar memandang serius mengenai perkara ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah Kuin," katanya pada sidang media pada Selasa.

Beliau berkata GPMS juga mencadangkan agar Kuin memberi keutamaan kepada rakyat di Kedah untuk mengisi pelbagai jawatan pensyarah, pentadbir dan lain-lain jawatan.

Selain itu katanya Kuin juga perlu memberi peluang kepada mereka yang berstatus pakar yang juga anak jati Kedah untuk memberi perkhidmatan di kolej tersebut.

Shamsul Bahar berkata Kuin seharusnya memberi tumpuan dalam bidang tertentu seperti pada awal penubuhannya agar proses penjenamaan semula kolej tersebut dapat dijana sekali gus dapat membina kekuatan tersendiri.

"Kita tak mahu Kuin menawarkan terlalu banyak kursus pengajian. Kita mahu Kuin ada kursus tertentu dan bila orang sebut Kuin mereka akan tahu Kuin ini pakar dalam kursus tertentu seperti kursus pengajian Islam seperti sebelum ini," katanya.

Selain itu, Shamsul Bahar berkata pihaknya juga berharap kerajaan negeri mengambil langkah bijak dalam menguruskan hutang Kuin yang bernilai RM330 juta agar tidak terlalu membebankan negeri berkenaan.

"Diharap ada pihak lain boleh tampil untuk membantu kolej tersebut dalam pelbagai perkara bagi menyelesaikan masalah hutang tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain