suria

Polis Tahan Dua Lelaki Disyaki Samun Rumah Saifuddin Nasution

MACHANG: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamun rumah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution di Kampung Air Hijau di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Machang, DSP Che Malek Bedot berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 27 tahun itu diberkas di rumah masing-masing di Kampung Gosong di sini pada 1.05 pagi Sabtu lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemui pelbagai barangan seperti komputer riba, jam tangan, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dan mata wang asing.

"Kita masih mengesan tiga lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun pada 6.30 petang Khamis lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini, Ahad.

Che Malek berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan dan kedua-dua suspek ditahan reman tiga hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan seorang daripada mereka baru keluar dari penjara Disember lepas atas kesalahan sama. Seorang lagi bekerja sebagai penoreh getah," kata Che Malek. - BERNAMA

Artikel Lain