suria

Kedutaan Jepun Serah Kepada Polis Siasat Kematian Tahanan

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jepun di sini akan menyerahkan kepada polis Malaysia untuk menyiasat kematian Nobuhiro Matsushita semasa dalam tahanan di lokap balai polis Subang Jaya USJ8, Sabtu lepas.

"Kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu. Kami tidak berhak untuk mengulas berhubung isu itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut," kata jurucakap kedutaan itu semasa dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau juga enggan memberikan butiran berhubung urusan bagi menuntut mayat itu.

Matsushita, 33, ditangkap kerana menceroboh masuk sebuah universiti di Subang dekat sini pada 2 Jun dan dijumpai tergantung dengan bajunya pada sebatang besi di lokap itu pada 8 Jun.

Pada Ahad, Ketua Polis Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, pada mulanya Matsushita diletakkan dalam lokap bersama beberapa tahanan lain tetapi dipindahkan selepas berkelakuan tidak normal dan mengganggu tahanan lain. - BERNAMA

Artikel Lain