suria

Terserah Kepada MCA Untuk Tarik Balik Keputusan - Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pucuk pimpinan MCA sama ada ingin membatalkan keputusannya sebelum ini untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Katanya, keputusan untuk mengkaji atau membatalkan tindakannya itu adalah hak parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) hanya menerima apa sahaja keputusan mereka.

"Kalau ada apa-apa yang mereka nak kaji atau tarik balik itu terserah kepada mereka...sama ada nak buat keputusan (tarik balik) atau sebaliknya itu hak mereka.

"Saya tidak pasti sama ada masanya sudah tiba untuk mereka berbuat demikian, ada yang kata terlalu awal...soal MCA kita serah pada MCA," kata Muhyiddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu, di sini, Sabtu.

Majlis turut dihadiri oleh isteri beliau Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin negeri dan parti komponen BN.

Muhyiddin mengulas kenyataan Chua semalam yang menyatakan keputusan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan mahupun negeri boleh dibatalkan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) hujung tahun ini.

Chua berkata ia boleh dilakukan jika satu pertiga daripada 2,400 perwakilan pusat menyetujuinya.

Mengenai cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu tahun ini, Muhyiddin berkata terlalu awal untuk beliau mengulas tentang perkara itu.

"Sebagaimana yang kita tahu Umno merupakan sebuah parti demokratik.

"Bukan hak individu tetapi hak ahli dan hal parti. Saya tidak akan komen, nantilah apabila sampai masa yang sesuai," katanya.

Beberapa pihak termasuk Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sebelum ini mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berpendapat jawatan itu patut dipertandingkan kerana Umno merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan prinsip keterbukaan kepada ahlinya. - BERNAMA

Artikel Lain