suria

Tangani Persepsi Negatif: Panel Cadang SPRM Diletakkan Di Bawah Jawatankuasa Khas Parlimen

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diletakkan di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya ia dapat membersihkan persepsi negatif mengenai integriti dan ketelusan badan berkenaan, kata Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Pengerusinya, Datuk Johan Jaafar mengemukakan cadangan tersebut sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Jun lalu bahawa satu jawatankuasa khas Parlimen akan diwujudkan bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Persepsi orang awam terhadap SPRM ialah badan itu akur kepada arahan pihak berkuasa, walaupun hakikatnya SPRM merupakan satu mekanisme yang dibentuk berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita percaya kebanyakan tuduhan yang dilemparkan terhadap SPRM tidak berasas, namun suruhanjaya itu akan berhadapan dengan persoalan mengenai persepsi selagi ia kekal dengan status sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jawatankuasa berkenaan mencadangkan agar satu badan bebas dwipartisan yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang dilantik menganggotai badan berkenaan.

Panel berkenaan turut mencadangkan agar perkataan 'bebas' dimasukkan dalam nama suruhanjaya berkenaan sekaligus menjadikan namanya, Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Perkataan 'bebas' itu akan membawa maksud yang lebih sempurna, sesuai dengan imej baru suruhanjaya," katanya

Selain itu, beliau mencadangkan agar pelantikan Ketua Pesuruhjaya dipilih berdasarkan model 'Sidang Dengar Kongres' yang diamalkan di Amerika Syarikat.

"Calon Presiden bagi mana-mana jawatan strategik mesti melalui 'Sidang Dengar Kongres'.

"Hanya individu yang berjaya dalam pendengaran tersebut boleh disahkan ke jawatan masing-masing," katanya sambil menambah terma dan syarat perkhidmatan akan menentukan kedudukan jawatan yang sepadan.

Johan berkata panel berkenaan turut mengiktiraf keupayaan Najib menyelesaikan isu berkaitan dengan tanggapan, dan beliau harus mempertimbang semula tuduhan, pendapat dan krititikan yang dilemparkan terhadap suruhanjaya berkenaan sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 berlangsung.

"Panel berpandangan bahawa dalam usaha memerangi rasuah, SPRM bukan sahaja perlu 'bersih' namun ia perlu dilihat 'bersih' daripada sebaran persepsi negatif," katanya.

Artikel Lain