suria

RM49.18 Bilion Pinjaman PTPTN Diberi Kepada 2.18 Juta Pelajar Sehingga Mei Lepas

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman berjumlah RM49.18 bilion kepada 2.18 juta pelajar sehingga akhir bulan lepas.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata PTPTN komited membantu pelajar membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup di institusi pengajian tinggi meskipun pelbagai tohmahan dilempar kepadanya oleh pihak tertentu.

"PTPTN telah melaksanakan pembiayaan pendidikan berlandaskan prinsip Syariah dengan pengenaan ujrah atau upah pada kadar satu peratus setahun.

"PTPTN menawarkan bantuan pengajian kepada pelajar yang memerlukan sahaja dan tidak memaksa mereka untuk menerima pinjaman berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada 98 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau di sini, Sabtu.

Beliau berkata WPP bertujuan membantu meringankan bebanan kewangan pelajar baharu bagi membuat persediaan mendaftarkan diri di IPTA dan politeknik.

Anggota Parlimen Kuala Krau itu juga berkata sehingga 30 April lepas, sejumlah 619,647 waran WPP ditunaikan, melibatkan amaun RM910.87 juta.

Ismail berkata PTPTN sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada semua peminjam dan menjadi sebuah organisasi yang mesra pelanggan. - BERNAMA

Artikel Lain