suria

PM Sampai Insentif RM50,000 Kepada Pendaki Projek Everest Felda

Tujuh orang Pendaki Gunung Everest Felda 2013 bergambar kenangan bersama replika cek berjumlah RM50,000 yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai insentif setelah berjaya menjejakkan kaki di Gunung Everest selepas majlis Penghargaan dan Penyerahan Insentif Projek Everest Felda 2013 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Jumaat. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Tujuh pendaki yang berjaya menawan puncak Everest di bawah Projek Everest Felda 2013 pada Mei lepas, masing-masing menerima insentif RM50,000, yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Selain itu beberapa pendaki dan anggota sokongan projek berkenaan masing-masing turut menerima insentif RM10,000 sumbangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada majlis penghargaan khas yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Perdana menteri dalam ucapannya berkata kejayaan anak-anak muda itu adalah cerminan manifestasi kepada usaha transformasi yang sedang diperjuangkan negara.

Beliau berkata, kalau generasi pertama Felda berjuang dan menempah kejayaan dengan menebas hutan rimba, kini generasi kedua mencatat kejayaan yang berlainan apabila mereka melihat bahawa sempadan pemikiran dan dimensi ruang lingkup mereka tidak terbatas kepada sempadan kawasan Felda semata-mata, malah merentasi sempadan negara, menjangkau ke puncak tertinggi dunia.

"Inilah intipati kepada pembaharuan yang ingin saya lihat kepada Felda keseluruhannya, hasrat saya supaya Felda menjadi sebuah organisasi yang dapat mencipta nama yang amat hebat di persada antarabangsa," katanya.

Projek Everest-Felda 2013 kendalian Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) dengan sokongan serta tajaan Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Majlis Belia Felda Malaysia itu menyaksikan kejayaan tujuh pendaki yang memulakan ekspedisi pada 2 April, tiba di kemuncak gunung tertinggi dunia dengan ketinggian 8,848 meter, pada Mei lepas.

Enam pendaki yang tiba di puncak Everest pada 21 Mei terdiri daripada Mohd Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang; Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor); Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang); Zainudin Lot, 37, (jurulatih; Myrza Fasha Md Hamyrudin, 25, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang); serta Muhammad Illaham Ishak, 37, (jurulatih).

Ketua kumpulan pendaki itu, Siti Hanisah Sharuddin, 23, (Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan) yang tiba di puncak tertinggi dunia itu dua hari kemudian, muncul sebagai wanita termuda negara menakluk Everest.

Najib berkata, beliau berharap kisah kejayaan pendakian itu dapat dijadikan sesuatu yang merangsang anak muda Felda dan Malaysia keseluruhannya, untuk turut terpanggil bagi melakukan sesuatu yang juga luar biasa, demi mengharumkan nama negara.

Sementara itu Siti Hanisah berkata, beliau amat gembira dan teruja dengan penghargaan yang ditunjukkan perdana menteri dan juga sokongan semua pihak yang berkaitan.

Siti Hanisah yang ditemui di luar majlis itu berkata duit yang diperolehnya akan digunakan untuk menghantar ibu bapanya menunaikan umrah, di samping memulakan perancangan untuk menjayakan hasrat menawan tujuh gunung di tujuh benua bersama KE7B.

Beliau bersama rakannya yang lain bersyukur kerana dapat membuktikan bahawa mereka yang datang dari kawasan kampung Felda dapat membuktikan sesuatu kepada negara, sehingga berjaya menawan puncak tertinggi dunia berkat doa, tekad serta usaha gigih dan sokongan pelbagai pihak. - BERNAMA

Artikel Lain