suria

Keadaan Trafik Seluruh Semenanjung Masih Terkawal

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di lebuh raya utama seluruh Semenanjung masih lancar walaupun berlaku kesesakan di laluan tertentu disebabkan peningkatan pengguna jalan raya ekoran cuti sekolah hampir tamat.

Jurucakap trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, pemantauan aliran trafik setakat 10 pagi ini menunjukkan keadaan trafik masih terkawal dan lancar di sebelah pantai barat dan pantai timur termasuk Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur. Katanya, bagi Lebuhraya Utara-Selatan, kenderaan bergerak perlahan dari Seberang Jaya menuju ke Plaza Tol Juru dari pukul 8 pagi disebabkan penambahan kenderaan di lebuh raya itu.

"Manakala di kawasan Lembah Klang, trafik masih terkawal di Lebuhraya KESAS, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu

Katanya, berlaku kemalangan kecil di Km21.2 (Kota Damansara-Bukit Lanjan) pada 8.54 pagi, bagaimanapun keadaan masih terkawal.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur pula melaporkan keadaan lalu lintas di sekitar ibu kota pada pagi adalah terkawal.

Cuti persekolahan dua minggu berakhir esok dan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain