suria

Jambatan Runtuh: Kerja-Kerja Mencari, Menyelamat Dijangka Tamat Petang Ini

GEORGE TOWN: Polis akan membuat keputusan petang ini (Sabtu) sama ada akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tersepit di bawah runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di sini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis akan mengadakan perbincangan dengan pihak bomba sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, empat ekor anjing unit pengesan K9 telah tiga kali melakukan pemeriksaan di bawah kawasan runtuhan.

"Setakat ini, kami tidak mendapat apa-apa indikasi adanya mangsa yang tersepit. Kami juga tidak mendapati apa-apa kesan kereta dan motosikal," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Beliau berkata polis akan membuat keputusan sama ada meninggalkan kawasan kepada pihak kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan atau meneruskan aktiviti mencari dan menyelamat.

"Kemungkinan besar kami akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat ini kerana tiada lagi kesan atau indikasi tentang mangsa atau kenderaan di bawah kawasan runtuhan," katanya.

Malam Jumaat, mayat Tajudin Zainal Abidin, 45, yang terperangkap dalam kereta Perodua Kelisa di bawah runtuhan itu berjaya dikeluarkan pada jam 8.45.

Khamis lepas, dua bahagian konkrit iaitu 180 tan konkrit keras dan 100 tan konkrit lembut di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, runtuh secara tiba-tiba pada kira-kira 6.40 petang. - BERNAMA

Artikel Lain