suria

Remaja Parah Dibelasah Lima Lelaki Di Kedai Makan

KUANTAN: Seorang remaja lelaki parah dibelasah lima lelaki di sebuah kedai makan di Teluk Chempedak, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kejadian berlaku kira-kira 2 pagi selepas mangsa berumur 18 tahun itu dan abangnya berumur 22 tahun dan seorang rakan perempuan selesai makan.

Ketika itu abang mangsa pergi ke tandas manakala rakan perempuan itu mengambil barang di kereta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dipercayai sasaran kumpulan lelaki itu adalah abang mangsa dan remaja itu disangka sasaran kerana mempunyai fesyen rambut yang sama dengan abangnya, katanya dan menurutnya bagaimanapun motif kejadian sedang disiasat,

"Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)...kelima-lima suspek berhenti membelasah mangsa selepas menyedari mangsa bukan sasaran mereka," katanya.

Mohd Jasmani berkata polis sedang mengesan lima suspek terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain