suria

Pencerobohan Lahad Datu: Seorang Lagi Berdepan Hukuman Mati

TAWAU: Seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lepas berdepan hukuman mati selepas dia didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Totoh Hismullah dituduh melakukan kesalahan itu dari 9 Februari 2013 hingga 29 Mac 2013 di Kampung Simunul, Semporna, mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Dia turut didakwa menurut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan boleh didenda.

Pendakwaan dilakukan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di hadapan Hakim P.Ravinthran yang bersidang di Penjara Tawau.

Dengan pertuduhan terbaru pada Jumaat, jumlah individu yang dihadapkan ke mahkamah berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu kini menjadi 31 orang termasuk seorang anggota polis, KPL Hassan Ali Basri.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding pada Jumaat, Abdul Gani berkata, kesemua tertuduh telahpun melantik peguam masing-masing kecuali seorang tertuduh yang akan diwakili peguam yang bakal dilantik mahkamah tidak lama lagi.

Abdul Gani berkata, pihak pendakwaan juga mendapat persetujuan daripada mahkamah supaya kesemua kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada prosiding seterusnya termasuk sesi perbicaraan.

"Saya dah mengemukakan proposal (permohonan) secara bertulis kepada CJSS (Hakim Besar Sabah dan Sarawak) untuk semua kes ini dipindahkan ke Kota Kinabalu dan proposal saya sudahpun dipersetujui," katanya.

Katanya kesemua kes itu, kecuali kes KPL Hassan yang tarikh perbicaraannya sudah ditetapkan, akan disebut semula di Kota Kinabalu pada 27 Jun ini manakala perbicaraan KPL Hassan juga di Kota Kinabalu, akan bermula pada 24 Jun.

Sementara itu, James Tsai, peguam yang dilantik Kerajaan Filipina untuk mewakili rakyat negara itu yang berdepan tuduhan dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, berkata setakat ini mereka mewakili 24 tertuduh.

Tsai berkata, permohonan Datuk N.Sivananthan untuk menyertai pasukan peguamnya yang bakal mewakili kesemua 24 tertuduh itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 12 Jun ini.

Katanya, tertuduh yang belum diwakili peguam pula akan diwakili peguam yang dilantik mahkamah.

Antara peguam yang dilantik mahkamah dan hadir bagi mewakili anak guam masing-masing dalam prosiding pada Jumaat ialah Syarulnizam Salleh, YS Lo Yun Sin dan Zakaria Ahmad dengan diketuai Ram Singh.

Mereka mewakili Basad H Manuel.

Ronny Cham pula mewakili Ismail Yasin manakala Abdul Gani Zelika mewakili Abd Hadi Mawan dan Atik Hussin Abu Bakar.

Turut hadir ialah Peguam Rowiena Rasid yang mewakili tertuduh, Pabblo Alie. Rowiena dilantik keluarga Pabblo. - BERNAMA

Artikel Lain