suria

Pemuda Umno Sokong Dua Jawatan Tertinggi Tidak Ditandingi

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno menyokong cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno pada penghujung tahun ini bagi mengelakkan berlakunya konflik politik dalaman terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata sayap parti itu mahu kedudukan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikekalkan bagi memperkukuhkan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Atas kesedaran bahawa kita perlu memperkukuhkan Umno dan melihat agenda transformasi menjadi keutamaan kita dan bukannya politik dalaman, kami usulkan agar jawatan ini tidak dipertandingkan.

"Ketetapan ini juga berdasarkan kesedaran bahawa Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah orang yang paling layak untuk terus memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden supaya Umno memperkukuhkan parti kita sendiri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Sebelum ini Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dilaporkan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, keputusan sebulat suara itu dicapai bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan ahli parti.

Artikel Lain