suria

PAS Gesa Kerajaan Wujudkan Suruhanjaya Bebas 'Post-Mortem' PRU-13

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: PAS menggesa kerajaan mewujudkan satu Suruhanjaya Bebas Post-Mortem berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi menyiasat secara terbuka dan telus serta mendapatkan maklumat mengenai kelemahan serta salah laku dari semua pihak yang terlibat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pelbagai persoalan timbul sebelum dan semasa proses pilihan raya berlangsung yang didakwanya tidak berlaku adil kepada Pakatan Rakyat dalam aspek penggunaan media cetak dan elektronik arus perdana.

"PAS mencadangkan supaya diadakan satu post-mortem secara menyeluruh dalam semua aspek PRU-13 ini.

"Hanya setelah kelemahan-kelemahan ini diketahui barulah pembaikan secara menyeluruh dapat dilakukan," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pelbagai pihak tidak kira daripada Pakatan Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia termasuklah daripada Barisan Nasional sendiri mengakui banyak kelemahan yang boleh diperbaiki dalam menguruskan PRU, sekaligus menjadi pelengkap kepada sistem demokrasi yang diamalkan di Malayia.

"Pihak kerajaan sendiri, telah membuat kenyataan supaya diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen, dan ini telah memberi gambaran bahawa kedudukan SPR sekarang belum bebas sepenuhnya," ujarnya.

Justeru, beliau berkata tindakan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tidak akan mempunyai apa-apa erti sekiranya kerajaan tidak tahu punca permasalahan yang timbul.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang akan dianggotai oleh ahli Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR.

Dengan langkah tersebut, Najib berkata beliau berharap agar kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata kerajaan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPR untuk melakukan perubahan terhadap kredibiliti sistem pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya yang lalu berlangsung tanpa sebarang gangguan.

Bernama memetik Najib sebagai berkata bahawa SPR bukan merupakan agensi atau jabatan kerajaan sebaliknya ia merupakan satu mekanisme yang dibentuk berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Lain