suria

Mayat Lelaki Dalam Kereta Berjaya Dikeluarkan, Identiti Mangsa Hanya Diketahui Selepas Bedah Siasat

Seorang ahli keluarga pengsan setelah mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, Jumaat. -fotoBERNAMA
Seorang ahli keluarga pengsan setelah mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, Jumaat. -fotoBERNAMA
Seorang ahli keluarga pengsan setelah mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, Jumaat. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Mayat lelaki yang terperangkap dalam timbunan runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung, di sini, berjaya dikeluarkan pada pukul 8.45 malam Jumaat.

Mayat dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Beliau berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.

"Pada sebelah petang tadi, abang mangsa ada datang ke lokasi dan membuat pengecaman berdasarkan pakaian yang dipakainya itu adalah adiknya dan selepas mayat dikeluarkan, isteri mangsa sekali membuat pengecaman dan mengaku lelaki yang memakai pakaian itu adalah suaminya," katanya pada sidang media di sini malam Jumaat.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun pengecaman bagi mengenal pasti identiti mangsa akan dibuat di bilik mayat HPP dan bedah siasat dijalankan pada pukul 10.30 malam ini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan berikutan beberapa maklumat yang di perolehi memaklumkan ada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

"Kita tidak pasti sama ada maklumat (ada beberapa mangsa lain terlibat) yang dapat itu tepat atau tidak tetapi operasi akan diteruskan.

Setakat ini hanya satu laporan polis yang kita terima kehilangan anggota keluarga iaitu dari keluarga mangsa (Tajuddin)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pihaknya akan menggunakan unit anjing pengesan (K-9) esok bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

"Unit K-9 Kuala Lumpur akan datang membantu kita esok bagi mengesan mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan berkenaan," katanya.

Katanya setakat ini kerja-kerja pembersihan lokasi berlaku runtuhan berkenaan sedang dijalankan dan ia akan diteruskan sehingga selesai. - BERNAMA

Artikel Lain