suria

Polis Perak Buru Dua Lelaki Berhubung Kes Bunuh

IPOH: Polis sedang memburu dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di lombong terbiar berhampiran Kawasan Industri Bemban, Batu Gajah di sini, 5 Mei lepas.

Mereka ialah K. Hemakumar atau lebih dikenali sebagai Chinapaiya, 27, dari Stesen 11 Jalan Teluk Intan di Bidor; dan S. Marimuthu, 38, dari Kampung Kilang Besar Bukit Jenun Pendang, Kedah.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Polis telah merakam percakapan 10 saksi bagi membantu siasatan kes, katanya.

Katanya, seramai 11 suspek berkaitan dengan kes itu ditahan pada 11 hingga 23 Mei di sekitar Bidor, Lahat, Menglembu, Sungkai dan Temoh.

Ditanya sama ada pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan politik ekoran mangsa dipercayai dibunuh pada hari berkempen bagi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai sudut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat K. Murugan ditemui oleh seorang lelaki penggembala lembu berumur 79 tahun pada pukul 5 petang, dengan keadaan tangan, badan dan kaki si mati berikat dengan dawai dan terdapat bongkah besi yang diikat pada bahagian badannya.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai hilang bersangkut dengan laporan polis di Bidor. Si mati tidak balik ke rumah pada 1 Mei lepas setelah keluar untuk membersihkan tempat ceramah di padang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain