suria

Malindo Air Yakin Kemampanan Strategi Penetapan Harga Tambang

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan baharu, Malindo Air yakin boleh menarik pasaran Malaysia dengan strategi penetapan harga tiket dan struktur kos mampan yang dipacu pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Airways Chandran Rama Muthy berkata syarikat penerbangan itu yakin tambang rendah yang ditawarkannya mampan di bawah struktur kos yang terkawal.

Ini berbeza dengan pendapat beberapa penganalisis dan pakar-pakar penerbangan bahawa harga tiket yang rendah yang ditawarkan Malindo Air tidak mampan secara fiskal kerana kos operasi yang tinggi.

Chandran berkata dalam perniagaan syarikat penerbangan, terdapat empat komponen kos utama iaitu pesawat, penyelenggaraan, bahan api dan perbelanjaan organisasi.

"Bagi Malindo Air, kami amat bernasib baik kerana mempunyai dua syarikat besar (induk) Lion Group dan NADI (National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd).

"Melalui syarikat induk ini, Malindo Air menjimatkan kos yang besar memandangkan Lion Group mempunyai pesanan terbesar pesawat Airbus manakala NADI, pakar penyelenggaraan pesawat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Malindo Air juga merancang untuk memanfaatkan Lion Group, yang mengendalikan Lion Air dari Indonesia, untuk membeli alat ganti pesawat pada harga yang lebih ekonomi.

Semasa ditanya sama ada strategi tambang Malindo Air akan tetap rendah, Chandran berkata ia bergantung kepada bekalan berbanding ekosistem permintaan.

"Jika permintaan besar, secara automatik harga akan menjadi lebih berdaya saing. Tunggu dan lihat. Saya lebih suka membuktikan melalui tindakan saya, bukannya kata-kata," katanya.

Malindo Air, yang memulakan perkhidmatan pada akhir Mac 2013, dilihat banyak pihak sebagai ancaman kepada Malaysia Airlines dan AirAsia dari sudut produk dan tambang rendah.

Pada masa ini, kumpulan pesawat Malindo Air yang terdiri daripada dua pesawat Boeing 737-900ER, mengadakan perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dengan tiga penerbangan setiap hari ke Kuching dan tiga penerbangan harian ke Kota Kinabalu.

Malindo Air juga mengadakan perkhidmatan dari Subang ke Kota Baharu, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Syarikat penerbangan itu juga sedang mengkaji untuk memulakan penerbangan antarabangsa sulung ke India dan Singapura pada Ogos.

Malindo Air juga dijangka mempunyai kumpulan 10 pesawat dan empat pesawat turboprop ATR menjelang akhir tahun. - BERNAMA

Artikel Lain