suria

Mahkamah Lanjut Ikat Jamin Pengurus Restoran Yang Didakwa Rogol Gadis Bawah Umur

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen pada Khamis melanjutkan ikat jamin pengurus restoran yang dituduh merogol dan kemudian mengahwini mangsanya yang di bawah umur.

Hakim Ummu Khatom Abd Samad berkata ikat jamin itu dilanjutkan sehingga kes diselesaikan.

Peguam Kanan Persekutuan Jamil Ariffin berkata tertuduh dibebaskan dengan ikan jamin RM8,000 yang berakhir hari ini.

Ummu Khatom berkata perbicaraan kes itu akan dijalankan pada 1 hingga 4 Julai dan menetapkan 20 Jun untuk pengurusan kes.

Riduan Masmud, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas.

Pada 21 Mei lepas, Mahkamah diberitahu bahawa Riduan telah mengahwini gadis bawah umur itu.

Loretto J. Padua mewakili tertuduh yang hadir dengan isteri pertamanya sementara mangsa tidak hadir.

Peguam Datuk Mariati Robert menjadi pemerhati bagi Persatuan Undang-undang Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain