suria

Black505: Pembangkang Pilih Padang Merbok

Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli

PETALING JAYA: Pembangkang akan meneruskan siri terakhir perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata pemilihan lokasi itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pihak polis supaya perhimpunan berkenaan tidak melibatkan Dataran Merdeka.

"Walaupun pada asasnya kami merasakan Dataran Merdeka adalah tempat yang paling sesuai untuk rakyat berhimpun, tapi kami akur dengan nasihat polis selaras dengan tuntutan Akta Perhimpunan Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.

Selepas PRU-13 pada 5 Mei lalu, pembangkang telah menganjurkan sepuluh siri perhimpunan sama di seluruh negara yang dikenali 'Black505' bagi membantah dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya.

Selain itu menurut Mohd Rafizi, surat makluman kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemilik Padang Merbok dan pihak polis akan dihantar pada Rabu bagi memenuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman.

"Kita akan hantar surat hari ini juga kerana pihak polis perlu dimaklumkan dalam tempoh sepuluh hari sebelum program diteruskan," katanya.

Ditanya mengenai sasaran jumlah kehadiran pada pehimpunan tersebut, Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR bagaimanapun enggan memberikan angka yang disasarkan.

"Berdasarkan siri perhimpunan Black505 sebelum ini, kita yakin satu jumlah yang besar akan hadir memeriahkan program pada 15 Jun ini.

"Setiap parti dalam Pakatan Rakyat akan menggerakkan penyokong masing-masing untuk turun beramai-ramai di Padang Merbok," katanya.

Artikel Lain