suria

Polis Tahan Enam Suspek Samun Kereta Mewah

PETALING JAYA: Polis menahan enam suspek termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan samun kereta mewah di sekitar Petaling Jaya dan Negeri Sembilan serta merampas tujuh kereta daripada suspek.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata kesemua suspek berumur antara 23 hingga 36 tahun ditahan di sekitar daerah ini dalam operasi polis selama tiga hari mulai 26 Mei lalu.

"Kita dapat kesan dua kereta jenis Mercedes dan Toyota Hilux di Taman Sri Manja, Petaling Jaya pada 26 Mei lalu. Hasil risikan, polis mengekori sebuah Toyota Wish dan menahan seorang lelaki tempatan pada hari sama," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Thaiveegan berkata polis kemudian merampas empat lagi kenderaan iaitu jenis Honda Accord, Honda CRV, Nissan Almera dan Suzuki Swift selain menjumpai sebilah parang dan pedang, kunci kereta, buku cek dan kad bank di dalam beberapa kenderaan berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila suspek lain ditahan dan menurutnya kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 14 rekod jenayah melibatkan kesalahan curi, samun, dadah dan pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata polis menahan dua lelaki yang disyaki membawa kereta curi dan merampas sepucuk pistol semi-auto jenis COLT MK IV 9mm bersama 27 butir peluru daripada mereka dalam satu rondaan di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata suspek yang berumur 25 dan 28 tahun itu ditahan bersama kenderaan jenis Toyota Harrier dan kedua-duanya ditahan reman sehingga Khamis ini.

"Pada mulanya kedua-dua suspek itu disiasat kerana memiliki kereta curi, namun pemeriksaan terperinci menjurus kepada penemuan satu beg kecil berwarna biru mengandungi senjata api yang disorokkan di belakang kotak radio," katanya kepada pemberita. -BERNAMA

Artikel Lain