suria

Pemilihan Gerakan 26 Oktober - Dr Chin

GEORGE TOWN: Pemilihan Gerakan peringkat kebangsaan yang ditangguhkan sejak 2011 bagi memberi tumpuan kepada proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lepas, akan diadakan pada 26 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Parti Kebangsaan, Tan Sri Dr Chin Fook Weng berkata proses pemilihan parti itu akan dimulakan dengan pemilihan di peringkat cawangan pada 5 Jun ini.

"Untuk peringkat Bahagian dan negeri sekitar Ogos dan September dan kemuncaknya ialah mesyuarat agung di peringkat kebangsaan pada 26 Oktober yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan bagi memperkenalkan setiausaha Gerakan Pulau Pinang yang baharu, Dr Lim Boon Ben bagi menggantikan Goh Kheng Sneah yang meletak jawatan pada 5 Mei lepas.

Dr Lim, seorang doktor gigi dan mempunyai klinik di Nibong Tebal telah melibatkan diri dalam Gerakan sejak 30 tahun yang lepas dan beliau akan memegang jawatan itu sehingga pemilihan parti selesai dan mempunyai barisan kepimpinan yang baharu.

Dr Chin juga mengalu-alukan golongan muda untuk menyertai Gerakan bagi memantapkan serta menyemarakkan kelangsungan perjuangan parti berkenaan seiring dengan peredaran zaman.

"Kita mahukan ramai golongan muda sertai parti, semangat yang baharu untuk teruskan perjuangan, kita juga mengalu-alukan kepada anggota parti yang berminat untuk bertanding dan menjadi pemimpin parti," katanya.

Beliau berkata Gerakan sedang mencari formula baharu untuk menarik minat golongan muda daripada pelbagai kaum menyertai parti berkenaan bagi bersama-sama berjuang demi kesejahteraan rakyat dan merealisasikan wawasan negara. BERNAMA

Artikel Lain