suria

Panel Khas SPR Hanya Untuk Alih Perhatian - Pembangkang

PETALING JAYA: Pembangkang menyifatkan pengumuman kerajaan memindahkan fungsi dan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu jawatankuasa khas Parlimen sebagai usaha untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan suruhanjaya itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa cadangan yang dibuat itu merupakan satu cubaan untuk mengubah persepsi rakyat mengenai dakwaan wujudnya penipuan pada pilihan raya lalu.

"Selesaikan dahulu isu penipuan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini pada Isnin.

Bagaimanapun Mustafa enggan mengulas sama ada pembangkang akan memboikot panel tersebut atau tidak.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili ahli Parlimen semua part politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Sementara itu mengulas mengenai seruan Yang di-Pertuan Agong supaya semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata, walaupun beliau menghargai kebimbangan yang disuarakan Agong, beliau bagaimanapun mendakwa ucapan itu ditulis oleh Kerajaan Persekutuan.

"Ucapan Agong itu biasanya ditulis oleh Jabatan Perdana Menteri dan ditapis sendiri oleh Perdana Menteri untuk pertimbangan Agong.

"Kami sedang mempertimbangkan untuk menulis surat kepada Agong bagi menjelaskan pandangan kami," kata Anwar.

Selain Anwar juga berkata pembangkang akan mengadakan perhimpunan bagi membantah SPR di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.

Menurut beliau lokasi perhimpunan itu akan diputuskan kemudian.

Artikel Lain