suria

MBSA Ditegur Kerana Naikkan Bayaran Parkir

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditegur gara-gara menaikkan kadar parkir di bawah pentadbiran majlis itu daripada 40 sen kepada 60 sen.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sepatutnya mengekalkan kadar yang dilaksanakan sejak 1998 itu dan bukannya mengikut PBT lain.

"Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengharapkan pemikiran yang kreatif. Sepatutnya kita berbangga bahawa kita boleh kekalkan kadar yang rendah untuk dijadikan contoh untuk bandar raya-bandar raya lain.

"Tak perlulah kita naik naikkan (kadar) kerana bandar raya yang lain dah naik tinggi. Kita nak cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Shah Alam dengan kos terendah," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan baru-baru ini mengenai kadar bayaran tempat letak kereta di bawah pentadbiran MBSA yang dinaikkan daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam.

Mohd Jaafar dilaporkan berkata, kadar yang diperkenalkan MBSA itu masih rendah berbanding PBT lain di Selangor dan keputusan itu bersesuaian dengan status Shah Alam sebagai sebuah bandar raya.

Khalid berkata, alasan kenaikan itu hanya boleh diterima pakai sekiranya Mohd Jaafar memberi penjelasan sekiranya kos pengurusan parkir meningkat atau MBSA semakin menanggung kerugian yang memerlukan kewangan tambahan.

Menurut Khalid, beliau yakin warga Shah Alam terkejut dengan pengumuman secara mendadak itu sejurus selepas pilihan raya umum.

"Kita nak beritahu rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat memberi kebebasan kepada PBT (untuk membuat keputusan). Ahli Parlimen tak campur, Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) pun tak campur dalam persoalan ini.

"Bagaimanapun kita mahu melihat sejauh mana pegawai-pegawai kerajaan seperti Datuk Bandar boleh menghayati dan menjiwai semangat kerajaan Pakatan Rakyat yang ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat pada kos terendah," katanya.

Sehubungan itu, Khalid meminta agar Datuk Bandar mengambil kira pandangan itu dan mempertimbangkan semula keputusan menaikkan kadar bayaran berkenaan.

Beliau menambah, MBSA sepatutnya melakukan usaha untuk menaik taraf keberkesanan sistem kutipan bayaran tempat letak kereta di sesetengah kawasan.

"Kalau pakai guna tiket ini ada yang tak berkesan. Ada yang bayar, ada yang tak bayar. Saya nak cadangkan MBSA untuk upgrade (naik taraf) sistemnya kepada auto-pay (bayaran automatik).

"Cara sekarang pun tidak efektif. Orang yang masuk (parkir) pun tak bayar. Ia akhirnya tidak adil bagi mereka yang membayar kerana kadar sahaja dinaikkan tetapi masalah orang bayar atau tidak, tidak diselesaikan.

"Buatlah sistem yang adil... fikirkan kaedah yang efektif, cara yang berkesan untuk mengekalkan bayarannya," kata beliau.

Artikel Lain