suria

Kerajaan Kedah Tumpu Selesai Kemelut Kuin - Tajul Urus

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri akan menumpukan untuk menyelesaikan kemelut kewangan dan pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Beliau berkata masalah asrama pelajar Kuin di kampus Kuala Ketil, Baling kini di peringkat perbincangan dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kuin jelas mempunyai masalah daripada segi pengurusan...kita juga dapati ada masalah daripada segi kewangan dan telah bersetuju untuk meletakkan bendahari negeri untuk membantu menjalankan urusan bendahari Kuin, malah kita juga minta audit untuk masuk," katanya kepada pemberita selepas melawat laluan baharu di belakang Kompleks Central Square di sini Selasa.

Beliau berkata Timbalan Rektor Kuin Datuk Che Barni Mohd Noh dilantik sebagai pemangku rektor institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu berikutan Prof Datuk Dr Jamil Osman meletak jawatan pada 20 Mei lepas.

Mengenai laluan baharu itu, Tajul Urus berkata ia akan mula beroperasi esok namun hanya dibuka untuk kenderaan ringan sahaja. Sementara itu, beliau turut melawat kawasan perumahan di Taman Pahlawan dan Taman Wira di sini yang terjejas akibat pembinaan Landasan Keretapi Elektrik Berkembar (Padang Besar-Ipoh) oleh MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd (MMC-Gamuda). "Hasil lawatan hari ini, saya dapati 16 buah rumah yang terjejas namun hanya dua yang mengalami kerosakan teruk. Kita akan minta pihak pemaju mengambil tindakan segera berhubung masalah ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain