suria

Kematian Tahanan di Lokap Polis Tampin Masih Dalam Siasatan

SEREMBAN: Siasatan kes kematian seorang tahanan, P.V Karuna Nithi, 42, di lokap Balai Polis Tampin baru-baru ini hampir siap, cuma menunggu laporan pathologist bagi menentukan punca kematiannya.

Menyatakan demikian hari ini Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata: "Mengikut pathologist daripada Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, laporan itu hanya akan boleh siap dalam masa dua atau tiga minggu".

Bercakap pada sidang media di sini, Osman berharap jangan ada sebarang spekulasi negatif terhadap siasatan itu yang telah diambil-alih oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. "Jadi, berlaku adillah kepada polis, biar kita kemaskinikan dahulu siasatan kita dan saya harap jangan membuat sebarang kesimpulan kerana kesimpulan itu mungkin tidak tepat dan cerita sebenarnya mungkin tidak diketahui.

"Saya sudah tegaskan di peringkat awal lagi bahawa kita tidak akan melindungi mana-mana pihak jika ada bukti yang mencukupi yang menjurus ke arah kes jenayah," katanya.

Beliau berkata daripada mula masuk lokap pada 28 Mei sehingga tahanan disahkan mati pada Sabtu lepas, semua perbuatan dirakamkan oleh kamera litar tertutup dalam lokap berkenaan dan setakat ini kita tidak nampak perkara luar biasa berlaku ke atas simati.

Pada Sabtu lepas (1 Jun), Nithi, yang ditahan sejak 28 Mei selepas memukul isterinya ditemui tidak sedarkan diri oleh anggota polis bertugas di lokap berkenaan bagaimanapun masih bernafas sekitar 6.30 petang.

Polis kemudiannya bertindak memanggil ambulans dari Hospital Tampin, tetapi pasukan paramedik yang tiba mengesahkan kematiannya pada pukul 7 petang. -BERNAMA

Artikel Lain