suria

Hina Agong: Tiga NGO Buat Laporan Polis di IPD Kota Baharu

KOTA BAHARU: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung tindakan sekumpulan individu menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial Facebook pada Sabtu lepas.

Ketiga-tiga NGO iaitu Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Kelab Bumi Rahmat dan Persatuan Lembaga Adat membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu pada 11 pagi Selasa.

Ketua aktivis Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Tengku Seri Nara Fazilah Putri Hussin berkata laporan itu dibuat bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit kerana menghina Yang di-Pertuan Agong serta mempertikai kedudukan institusi diraja.

"Bagi kami tindakan sekumpulan individu yang mempersenda titah Yang di-Pertuan Agong begitu melampau dan kami membantah sekeras-kerasnya tindakan itu.

"Kami memohon pihak bertanggungjawab mengesan dan menangkap mereka yang terlibat serta mengambil tindakan yang sewajarnya supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata tindakan sedemikian tidak harus berlaku kerana sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong sepatutnya dihormati dan disanjungi.

"Sepatutnya kita patuh dan taat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda adalah payung rakyat yang membawa keharmonian dan kesejahteraan negara ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain