suria

Guna Kuasa Pengguna Kekang Kenaikan Harga Barang - Hasan Malek

PUTRAJAYA: Pengguna perlu menggunakan hak mereka untuk membantu kerajaan mengekang tindakan pemborong dan peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati, kata Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata tindakan itu perlu dilakukan terutama dalam membantu mengawal harga barang bukan kawalan.

"Di samping tindakan penguatkuasaan oleh kementerian, langkah itu dilihat lebih berkesan kerana jika tiada pembeli maka peniaga yang menaikkan harga akan mengalami kerugian," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Hasan berkata demikian ketika mengulas rungutan pengguna berhubung tindakan pemborong menaikkan harga barang pada musim cuti sekolah.

Beliau berkata pengguna perlu tahu kuasa mereka serta tidak terlalu bergantung kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu kepenggunaan, sekali gus dapat mewujudkan kerjasama pengguna dan kerajaan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna kementerian mengambil sikap lepas tangan jika pemborong dan peniaga didapati sengaja menaikkan harga sesuka hati dan melampau.

"Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Anti Percatutan 2010, tetapi kalau boleh, kita tidak mahu berbuat demikian kerana mahu mewujudkan situasi menang-menang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain