suria

Masa Untuk Penjawat Awam Tunai Amanah Rakyat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpuan Bulanan JPM di dataran perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Isnin. Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpuan Bulanan JPM di dataran perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Isnin. Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpuan Bulanan JPM di dataran perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Isnin. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Sudah hampir sebulan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berlalu dan dunia menerima keputusan rakyat memberikan mandat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memimpin negara, maka anggota penjawat awam mempunyai tanggungjawab besar untuk bersama-sama menunaikan amanah rakyat itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata, penjawat awam harus mula mengorak langkah membina kesejahteraan dan membantu memajukan negara melalui usaha perubahan yang diinginkan rakyat daripada kerajaan.

"Penjawat awam tidak mampu menoleh ke belakang, membuang masa dengan 'politiking berlebihan', kerana ia akan hanya mengalih tumpuan daripada usaha yang lebih besar, iaitu untuk menunaikan amanah yang diberikan rakyat pada PRU-13," katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri selepas PRU-13, di Dataran Perdana di sini, Isnin.

Najib berkata, dunia telah menerima keputusan rakyat Malaysia pada PRU-13 yang memberikan mandat kepada BN untuk memimpin negara berdasarkan ucapan tahniah yang diterimanya daripada ramai pemimpin dunia.

"Kini sebagai sebuah negara, mari kita perlihatkan bahawa kita pengamal demokrasi matang, bukan saja akui kita menerima proses demokrasi ini, tapi yang penting selepas selesai pilihan raya, kita tunjukkan bahawa kita ialah penerima demokrasi parlimen yang cukup matang," katanya.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teruskan usaha membawa perubahan dan transformasi, kerana rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka mahukan perubahan, dan ia boleh dilakukan tanpa menukar kerajaan," tambahnya.

Najib berkata, jika ada kelemahan yang dikesan sebelum ini, ia mungkin berkisar kepada jentera kerajaan yang kelihatan 'tidak berapa cekap' dalam menangani 'perang persepsi'.

"Ini yang mungkin kita boleh perbaiki, bagaimana kita harus menangani perang persepsi - bukan realiti tapi persepsi. Persepsi boleh dibentuk dengan pelbagai cara, bukan saja dengan cara bersemuka (face to face) tapi kini sudah ada Facebook (untuk membentuk persepsi).

"Ini perlu kita beri perhatian, mungkin kita kurang tajam dalam perkara ini, tapi kita boleh rancang dan dengan menggunakan pengalaman kita, supaya di masa akan datang kita akan lebih lebih berjaya untuk memaparkan apa yang sebenarnya - bukan persepsi tapi realiti," katanya.

Merujuk kepada PRU13, Najib berkata, kerajaan berusaha melakukan yang terbaik mengikut undang-undang negara dan menampilkan banyak penambahbaikan untuk menjadikan ia lebih telus, termasuk menerima cadangan daripada parti-parti pembangkang.

"Namun masih ada pihak yang hendak pertikai keputusan pilihan raya, sebenarnya kalau kita ketahui prosesnya, hampir mustahil sekali untuk sesiapa jua melakukan penipuan besar-besaran," katanya .

Perdana menteri berkata, ada sesetengah tuduhan yang dilemparkan terhadap PRU-13, yang didapati langsung tidak masuk akal, seperti tuduhan kononnya BN membawa sehingga 40,000 'pengundi hantu' warga Bangladesh untuk memastikan kemenangan.

Beliau berkata, tuduhan-tuduhan seumpama itu dibangkitkan berbulan-bulan lamanya sebelum pilihan raya, sehingga menimbulkan rasa 'paranoid' dalam kalangan yang mempercayainya.

Sehinggakan ada warga tempatan yang diserang semata-mata kerana rupanya mirip warga Bangladesh, kononnya bagi menghalang pengundi hantu, jelas beliau.

"Ini tidak adil bagi mereka yang berkulit hitam manis yang dituduh sebagai bukan warga tempatan.

"Kita mungkin boleh gelak ketawa selepas pilihan raya, tapi pada waktu itu (PRU-13) ramai terpedaya dengan cerita pengundi hantu yang direka dengan sengaja ini, semata-mata untuk pertikai kredibiliti proses pilihan raya kita yang begitu telus," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain