Lelaki Warga Myanmar Maut Ditetak 10 Lelaki - Semasa | mStar

Lelaki Warga Myanmar Maut Ditetak 10 Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditetak dalam kejadian di Jalan Merdeka Ria 3, Kampung Baru Ampang, di sini Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Md Nazri Zawawi berkata, kejadian berlaku pukul 7.30 pagi ketika mangsa yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta, sedang tidur di premis tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lewat 20-an itu diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan parang, katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya, polis menerima panggilan menyatakan ada pergaduhan, dan apabila tiba di lokasi kejadian polis menemui mayat mangsa dalam keadaan meniarap kira-kira 100 meter daripada tempat dia diserang.

"Polis percaya mangsa mati akibat terkena satu tetakan masing-masing di bahagian leher, rusuk dan bahagian belakang badan," katanya.

Katanya, siasatan awal polis juga mendapati semasa kejadian ada lapan rakan senegara mangsa di situ, dan dua daripada mereka iaitu masing-masing lelaki dan wanita, turut diserang.

Kedua-duanya mengalami kecederaan di bahagian lengan dan jari, katanya sambil menambah semua mangsa memasuki negara ini secara sah. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain