suria

Jalan Menjawah-Belaga Elak Laluan Sungai

KUALA LUMPUR: Penduduk luar bandar di Sarawak yang menggunakan Sungai Rajang sebagai laluan utama bakal mempunyai akses laluan alternatif apabila projek jalan raya baharu siap tidak lama lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata laluan darat sepanjang 38 kilometer itu merupakan salah satu daripada empat projek jalan di pedalaman Sarawak yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah projek Jiwa Murni Khas.

Beliau berkata jalan bertar itu kini telah 92 peratus siap dan pembinaannya dijangka selesai sepenuhnya pada Ogos depan.

"Projek jalan ini merupakan satu-satunya projek yang terdekat dengan sungai utama Batang Rajang tidak jauh daripada lokasi kejadian bot karam baru-baru ini, katanya dalam kenyataan media di sini, Ahad.

Hishammuddin berkata jalan raya itu juga bakal menghubungkan Kampung Menjawah, pusat hydro Bakun sehingga pekan Belaga apabila siap kelak.

Ia juga memberi akses laluan ke tujuh rumah panjang berdekatan iaitu Rumah Nyaving, Rumah Apan, Rumah Long Mitik, Rumah Long Segaham, Rumah Panjang Lahanan, Rumah Panjang Kajaman dan Rumah Panjang Makahei, katanya.

"Dengan adanya laluan alternatif darat ini, penduduk sekitar tidak lagi hanya bergantung kepada laluan sungai yang terdedah kepada pelbagai risiko seperti mana yang telah berlaku baru-baru ini," katanya.

Projek bernilai RM56 juta itu kini dibina bersama oleh pasukan jurutera ATM dengan pihak berkuasa tempatan dan dibiayai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengikut kaedah Strategi Lautan Biru, katanya.

Selasa lepas, sebuah bot ekspres sarat dengan penumpang yang ingin pulang meraikan Hari Gawai, karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan berhampiran Sungai Rajang, kira-kira 40 minit perjalanan dari Sibu, Sarawak. BERNAMA

Artikel Lain