suria

Jawatankuasa Khas Pantau SPR

PETALING JAYA: Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR.

"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," katanya dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak kemerdekaan, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.

"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku perdana menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin Allah SWT," kata Najib.

Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

Artikel Lain