suria

Warga Myanmar Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar Di Leher

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher di Jalan 8/3A, Pusat Bandar Utara Selayang di sini malam Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata, mayat ditemui di lorong belakang sebuah kedai memproses ayam oleh rakan senegara mangsa pada 10.15 malam sebelum melaporkannya kepada polis.

"Pengadu berkata dia ternampak sekumpulan lelaki tidak dikenali dipercayai warga Myanmar menyuluh lampu ke arah kepala si mati.

"Lelaki itu kemudian terus ke Balai Polis Seri Murni, Selayang untuk memaklumkan kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Othman, terdapat kesan kelar sepanjang 12 sentimeter di leher mangsa yang berbaju kemeja-T putih dan berseluar jeans biru. Polis menemui satu sarung pisau berwarna hitam berhampiran tempat kejadian.

Identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain