suria

Tingkat Kualiti Tadbir Urus, Integriti Antara Tumpuan Baharu Kerajaan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen merupakan antara bidang tumpuan baharu kerajaan.

Perdana menteri berkata selain itu, kerajaan akan memperhebatkan usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Najib berkata untuk membuktikan keseriusan iltizam kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, kerajaan telah merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh.

"Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat," katanya ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Najib seterusnya berkata kerajaan tidak akan berdikit dalam usaha meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti serta komitmen lain.

"Rakyat Tuanku telah bersuara dan menyatakan keutamaan yang sepatutnya diperjuangkan oleh kerajaan Tuanku. Menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk menunaikan amanah tersebut dengan cara terbaik," kata perdana menteri.

Najib mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 6 Mei lepas selepas Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan akan meningkatkan pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan, inflasi dan kos kehidupan menurun, kadar pengganguran rendah dan kadar jenayah terkawal.

Selain itu, kerajaan akan turut berusaha memastikan akses kepada pendidikan berkualiti yang saksama, mengecilkan jurang prasarana mahupun pendapatan warga bandar serta luar bandar, kadar pelaburan asing dan domestik yang sihat, serta daya saing nasional terus meningkat.

"Semua rancangan yang telah dirangka tidak akan berjaya tanpa sokongan semua rakyat Malaysia. Ia tidak harus menjadi agenda kerajaan semata-mata tetapi wajib menjadi misi semua pihak.

"Marilah kita bersama-sama melakar masa depan baharu dan lebih baik untuk kita dan anak-anak kita," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain