suria

Pemandu Foklif Warga Myanmar Maut Dihempap Kontena

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki warga Myanmar yang sedang mengangkut barangan dengan foklif maut dihempap kontena dibawa sebuah kren dalam kejadian di kawasan perindustrian Pelabuhan Barat di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan berkata ketika kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun sedang menyiapkan kerja memunggah di sebuah stor penyimpanan kontena bersama seorang pemandu kren warga Bangladesh pada kira-kira 4.20 pagi.

"Siasatan awal mendapati kren yang membawa kontena itu tiba-tiba membrek secara mengejut menyebabkan kontena berkenaan berayun dan jatuh menghempap foklif dipandu mangsa yang secara kebetulan berada di depannya.

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain manakala pemandu kren terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Ahmad Zaidi juga berkata bomba, yang dikejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 4.30 pagi, mengalami kesukaran mengangkat kontena kerana ia melebihi had berat yang mampu ditampung jentera pasukan itu.

"Pihak bomba terpaksa menggunakan kren daripada pihak swasta untuk mengangkat kontena itu sebelum besi foklif yang menghempap mangsa dapat dipotong," katanya.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi yang menghempap mangsa sebelum mayat lelaki itu dapat dikeluarkan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain