suria

MCA Tekad Terus Berjuang Bersama Parti Gabungan BN - Liow

BENTONG: MCA bertekad meneruskan perjuangan bersama Umno, MIC, Gerakan dan parti gabungan Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga percaya MCA akan bangkit semula meskipun berdepan tamparan hebat selepas mempamerkan prestasi buruk pada PRU kali ini berbanding 2008.

Beliau mendakwa kekalahan MCA berpunca daripada fitnah parti pembangkang menerusi Internet, laman sosial Facebook dan blog yang berjaya mempengaruhi golongan muda kaum Cina.

"Kita (MCA) kena lihat dan tangani isu dengan lebih baik untuk membolehkan parti kembali bangkit dan mempunyai pengaruh lebih kuat di masa depan," kata Anggota Parlimen Bentong itu ketika berucap pada majlis kesyukuran anjuran beliau dan Umno Cawangan Karak di sini Sabtu.

Liow berkata, MCA perlu mengambil iktibar daripada semangat juang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak pernah luntur untuk berkhidmat kepada rakyat meskipun hanya menang dengan majoriti 241 undi sahaja pada PRU 1999.

Beliau juga berkata, berkat usaha dan semangat juang yang tinggi, perdana menteri terus bangkit sehingga mampu menang dengan majoriti lebih 30,000 undi pada PRU-13.

Mengulas resolusi MCA yang enggan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet, Liow berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat parti itu tidak lama lagi.

"Bagi pihak parti, saya amat menghargai Perdana Menteri kerana masih sanggup memberikan tempat untuk MCA menyertai Kabinet apabila potfolio yang dikhaskan untuk MCA kini dipangku buat sementara waktu," katanya.

Pada PRU-13, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen daripada 37 dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 90 yang ditandingi. - BERNAMA

Artikel Lain