Jangan Rosakkan Kebolehpercayaan SPR Untuk Kepentingan Diri, Kelompok - PM - Semasa | mStar

Jangan Rosakkan Kebolehpercayaan SPR Untuk Kepentingan Diri, Kelompok - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu.

Perdana menteri menegaskan janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.

Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata untuk memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," katanya.

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak kemerdekaan, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.

"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku perdana menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin Allah SWT," kata Najib.

Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin Allah SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia," katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain