suria

Isu Keselamatan Bot Ekspres Akan Dibincang Dalam Masa Terdekat - Manyin

KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak akan membincangkan aspek keselamatan bot ekspres pada satu mesyuarat bersama pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Michael Manyin berkata, mesyuarat itu akan mencari langkah yang boleh diambil, antaranya bagi memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan penumpang dan operasi bot ekspres dikuat kuasa.

"Kita tidak boleh menuding jari kepada Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dan lain-lain pihak berkuasa kerana bukan mudah untuk menguatkuasakan undang-undang di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Hari Gawai anjuran Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan, di sini, Sabtu.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Manyin berkata, LSS sukar menguatkuasakan peraturan di semua 500 terminal dan jeti kerana hanya mempunyai kira-kira 100 warga kerja, dan dalam kebanyakan kes pengusaha sanggup membawa penumpang berlebihan terutama ketika musim perayaan, atas faktor kemanusiaan.

Katanya, menurut Persatuan Pembina Kapal Sarawak, reka bentuk bot ekspres yang beroperasi di sungai-sungai Sarawak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia.

Menurut Manyin, ada juga pihak mencadangkan agar pengusaha bot diwajibkan mendaftar nama penumpang seperti amalan syarikat penerbangan bagi memudahkan proses mengenal pasti mangsa jika berlaku kejadian tidak diingini.

Selasa lepas, sebuah bot ekspres yang membawa lebih 200 penumpang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang. Polis setakat ini mengesahkan tiga penumpang masih hilang, satu mayat ditemui dan 204 yang lain selamat.

Sementara itu, Mawan berkata kementeriannya akan mengambil langkah perlu bagi membantu keluarga dan mangsa yang terbabit dalam kejadian bot karam itu, jika diminta oleh Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak.

Mengenai sambutan Gawai, beliau berharap festival itu akan membawa inspirasi baru dan kemakmuran kepada rakyat.

Sementara itu, Abdul Taib ketika mengucapkan "Selamat Hari Gawai" kepada komuniti Dayak, berkata semakin ramai masyarakat meraikan sambutan itu, terutama di rumah panjang dan kampung-kampung yang kemeriahannya lebih dirasai. - BERNAMA

Artikel Lain