suria

Dua Lagi Pemimpin Umno Sabah Sokong Keputusan Halang Kemasukan Nurul Izzah

KOTA KINABALU: Dua lagi anggota tertinggi Umno menyokong keputusan kerajaan Sabah menolak kemasukan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar masuk ke negeri itu.

Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said dan ketua sayap parti, Puteri Datuk Rosnah Shirlin berkata kerajaan negeri itu mempunyai alasan yang sah untuk mengenakan larangan tersebut.

"Saya percaya ini bukanlah satu keputusan politik, tetapi sesuatu yang bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kestabilan Sabah," kata Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri.

"Sabah perlu mengharamkan mana-mana ahli politik dari luar Sabah, tanpa mengira fahaman politik, yang datang ke negara kita dengan niat untuk memupuk ketidakpercayaan dan kebencian di kalangan rakyat kita," katanya.

"Kami tidak mahu menerima masuk budaya politik pecah belah dan pemerintahan yang diamalkan di tempat lain. Sabah sentiasa menjadi sebuah negari yang aman dan harmoni dan kita berbangga dengan perpaduan dan kepelbagaian," tambah Salleh.

Beliau berkata kuasa untuk menyekat seseorang daripada memasuki Sabah telah digariskan dalam Akta Imigresen, sambil menambah Nurul Izzah sentiasa boleh membuat rayuan terhadap pengharaman itu.

Rosnah berkata undang-undang itu harus dihormati dan kerajaan Sabah mempunyai asas yang mencukupi untuk mengenakan larangan tersebut.

"Keutamaan kerajaan ialah sentiasa mengambil tindakan dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini untuk memelihara keamanan dan keselamatan," kata Rosnah, Timbalan Menteri Kerja Raya selepas melawat kawasan tanah runtuh di Moyog di Penampang, Sabtu.

Jabatan Imigresen enggan membenarkan kemasukan Nurul Izzah ke negeri itu pada petang Khamis.

Artikel Lain