suria

Umno Wujudkan Makmal Khusus Lihat Cadangan BN Parti Tunggal - Najib

KUALA LUMPUR: Umno akan mewujudkan makmal khusus untuk memperinci cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Umno itu berkata parti juga perlu mengadakan tinjauan pendapat daripada anggotanya sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan itu. Sebarang perubahan, katanya, perlu berdasarkan penerimaan anggota Umno sendiri.

"Kita faham Umno ini parti yang dekat di hati ahli...jadi sebarang perubahan perlu diperhalusi dengan mendalam supaya nanti tidak timbul isu ketidakterimaan terhadap parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti di sini Jumaat.

Ini merupakan mesyuarat pertama MT Umno selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU-13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.

Sementara itu, Najib turut memaklumkan Lembaga Disiplin Umno menerima 99 aduan mensabotaj parti sepanjang PRU-13.

Keputusan kes itu akan ditentukan Lembaga Disiplin, katanya.

Seramai 192 anggota Umno yang bertanding secara bebas dan menyertai pembangkang pada PRU-13 dipecat berdasarkan keputusan dasar parti.

Tindakan itu selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana anggota yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keanggotaannya selama-lamanya.

Antara yang dipecat ialah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohd Shariff Omar (bertanding calon Bebas di Parlimen Tasek Galugor dan DUN Sungai Dua) dan Ketua Pemuda Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan memfailkan lebih 50 petisyen mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 di Mahkamah Tinggi di negeri yang terbabit, tidak lama lagi.

Katanya peguam Umno sedang meneliti perkara itu termasuk keputusan di 37 kawasan di mana pencalonan pembangkang diragui kerana dipercayai tidak mengikut peraturan pilihan raya.- BERNAMA

Artikel Lain