suria

PSTM Kementerian Wajar Disemak Untuk Kekal Relevan - KSU

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) wajar menyemak semula kesemua Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) kementerian bagi memastikan ia kekal relevan dan seiring dengan perkembangan semasa.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata ia juga sejajar dengan penyusunan semula kementerian itu berikutan pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kita perlu melakukan (menyemak) ia bagi memastikan pelan strategik sentiasa relevan dan mengikut keperluan semasa sebagai rujukan kita dalam melaksanakan tugas dalam bidang ICT," katanya pada majlis Exit Conference dan penyerahan dokumen PSTM Jabatan/Agensi 2013/2017 di sini Jumaat.

Penyerahan dokumen PSTM itu melibatkan tiga jabatan dan agensi iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jabatan Muzium Malaysia.

KKMM yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sehingga kini mempunyai 14 PSTM, yang dibangunkan secara dalaman dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) sejak 2011.

Ia sebagai garis panduan atau rangka tindakan bagi perancangan, pembangunan dan pelaksanaan program ICT kementerian dan agensi di bawahnya dengan lebih sistematik.

Dengan pengumuman Kabinet baru, beberapa jabatan yang dahulunya diletakkan di bawah KPKK dipindahkan ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan termasuk Jabatan Muzium Malaysia.

Kamaruddin berkata Ketua Pegawai Maklumat (CIO) kementerian juga perlu memantau pelaksanaan pelan tersebut, agar setiap perancangan yang dibuat dapat direalisasi.

"Saya harap tidak ada dokumen yang menjadi penghias bilik atau almari pegawai-pegawai kanan kita dan ia harus diguna dan dilihat selalu untuk memastikan pembangunan ICT yang dibuat di kementerian tidak lari dari apa yang dirancangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain