suria

Lelaki Melecur 82 Peratus Disambar Api Akibat Letupan Gas

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran melecur hampir 82 peratus akibat disambar api selepas gas di dapur tempat kerjanya meletup di Jalan Bulan, Bukit Bintang pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari Jumaat, mangsa yang dikenali sebagai Fauzi berumur lingkungan 30-an, melecur teruk di seluruh badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat letupan gas petroleum cair (LPG) di bahagian dapur yang terletak di tingkat satu premis dua tingkat itu," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur jabatan itu menerima panggilan pada pukul 12.50 tengah hari dan menghantar dua jentera serta 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah ke tempat kejadian.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh lapan minit dan api dapat dipadamkan setengah jam kemudian.

Jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Sementara itu, seorang pekerja restoran yang dikenali sebagai Faizan, 26, ketika ditemui Bernama di tempat kejadian, berkata semasa kejadian, beliau sedang melayan pelanggan sebelum terhidu bau gas yang sangat kuat.

"Secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan kesemua pelanggan terus keluar dari premis dan majikan saya telah meminta Fauzi meninjau keadaan di dapur," katanya.

Faizan berkata tidak lama kemudian terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum cermin tingkap di dapur pecah dan letupan tersebut telah mengenai Fauzi. - BERNAMA

Artikel Lain